Boleh Tak Menyusukan Anak Ketika Ibu Sedang Demam?
Boleh Tak Menyusukan Anak Ketika Ibu Sedang Demam? – Bila sebut demam je, memang kak fara terus rasa lemah. Lebih-lebih lagi bila tengah menyusukan maream. Boleh jadi stress taw bila demam time menyusu ni. Penat menyusukan lagi, penat nak layan badan demam lagi.
Kalau cik suami tak tolong, makin stress jadinya. Sebab tu dalam rumahtangga ni komunikasi tu sangat penting. Jangan pendam sorang-sorang taw. Luahkan je dan berterus terang dengan suami.
Ok berbalik kepada menyusu time ibu demam. Ada yang cakap tak boleh sebab bimbang nanti akan menjangkiti bayi yang disusukan. Tetapi sebenarnya tak ada masalah pun.
Pakar perubatan menyarankan jika ibu demam biasa seperti batuk, selesema, sakit tekak dsb, ibu dinasihatkan untuk meneruskan penyusuan mereka.
Ia sebenarnya tidak memudaratkan bayi, malah melindungi bayi daripada jatuh sakit kerana susu ibu akan mengandungi spesifik antibodi terhadap kuman yang menjangkiti ibu mereka.
Jika demam tersebut menyebabkan ibu berasa terlalu lemah, ibu dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk rawatan selanjutnya.
Beritahu dengan jelas kepada doktor bahawa anda menyusu, dan kebiasaanya doktor akan pastikan ubat yang diberikan kepada ibu tidak memudaratkan bayi serta penyusuan itu sendiri.
Boleh tak menyusukan anak ketika ibu sedang demam? Antara tips yang boleh anda praktis semasa demam termasuklah;
1. Minum air dengan banyak
Semasa demam, suhu badan akan meningkat lebih tinggi berbanding dengan suhu normal.
Untuk menstabilkan semula suhu badan, disamping mengelakkan dehidrasi badan, ibu dinasihatkan supaya minum air dengan lebih banyak. Antara tips bagaimana boleh pastikan anda minum dengan lebih banyak termasuklah;
- Sentiasa bawa bekas minuman air, dan minum bila mana ibu rasa dahaga.
- Ambil jus, buah-buahan atau makanan yang banyak kandungan air seperti sup dan sebagainya.
Pantau keadaan fizikal anda, dan kenali tanda-tanda badan dapat air dengan secukupnya (kencing jernih dan tidak berbau)
2. Dapatkan Rehat Yang Berkualiti
Pastikan anda dapat rehat yang lebih berkualiti semasa demam, walaupun tempoh rehatnya singkat. Ini membantu tubuh anda untuk sembuh seperti sediakala dengan lebih cepat.
3. Makan Makanan Yang Seimbang
Ambil makanan yang seimbang daripada sumber karbohidrat, protein, vitamins dan mineral serta boleh jadikan kurma sebagai snack untuk bekalan tenaga segera. Ini dapat pastikan ibu tidak lemah dan keletihan untuk meneruskan penyusuan ketika demam. Contoh karbohidrat seperti, nasi, mee, bihun, kentang dsb; Contoh protein seperti ayam, ikan, daging dsb; Contoh vitamins dan mineral seperti sayuran hijau dan buah-buahan.
4. Susukan Bayi Seperti Biasa dan Pam Mengikut Jadual
Pastikan anda jaga kekerapan anda kosongkan payudara anda dengan menyusukan bayi atau mengepam seperti biasa walaupun dalam keadaan demam.
Ini adalah penting untuk kekalkan paras prolaktin seperti biasa dan juga dapat elakkan susu merudum sepulihnya ibu daripada demam.
5. Jaga Kebersihan Diri Anda
Amalkan kebersihan diri untuk meminimumkan bayi anda terdedah kuman daripada anda sendiri.
Pastikan anda basuh tangan anda sekerap mungkin sebelum menyentuh bayi, dan elakkan daripada batuk dan bersin berdekatan dengan bayi.
Kesimpulannya, jangan jadikan demam sebagai alasan untuk tidak menyusukan bayi.
Ini kerana apabila ibu demam terdapat reaksi imunologi yang mana lebih banyak antibodi akan dihasilkan dengan lebih cepat yang membolehkan antibodi tersebut disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.
Lebih teruk lagi, jika anda tidak menyusukan bayi seperti biasa, ia mungkin mengakibatkan susu anda akan menjadi berkurangan di masa hadapan. Jadi, kak fara harap persoalan boleh tak menyusukan anak ketika ibu sedang demam ini terjawab.
Bertindaklah secara bijak!