TRAVELOG PERMATA HATI – SPERMA ZERO?

Organ reproduktif lelaki adalah unik di mana buah zakar atau testis bertindak sebagai “kilang pengeluar” bagi penghasilan sperma.

Manakala epididymis (kelenjar di atas buah zakar) pula bertindak sebagai “stor” yang menjadi tempat simpanan sperma yang telah menjalani proses kematangan di dalam buah zakar sementara menunggu untuk dipancut keluar melalui proses ejakulasi.

Adalah menjadi satu kejutan besar apabila sang suami mendengar keputusan analisis air mani yang ditafsirkan oleh pakar kesuburan “air mani encik tidak mengandungi sperma”.

Kebanyakan suami akan menghadapi kesukaran untuk menerima hakikat tersebut dan terasa seperti kelelakian mereka tercabar.

Azoospermia adalah satu keadaan permasalahan perubatan lelaki, di mana ia didiagnos apabila tiada sperma dikesan di dalam air mani lelaki melalui ujian analisis air mani.

Ujian ini memerlukan suami mengeluarkan air mani dan kemudiannya dikaji di bawah microskop untuk melihat kuantiti dan kualiti sperma.

Azoospermia menjejaskan 1% daripada populasi lelaki dan dianggarkan sehingga 20% daripada kes kemandulan lelaki disebabkan oleh azoospermia. Terdapat dua klasifikasi azoospermia yang berbeza, iaitu Azoospermia Obstruktif dan Azoospermia Non-Obstruktif.

Azoospermia Obstruktif berlaku apabila terdapat masalah di saluran reproduktif lelaki di mana sperma masih dihasilkan oleh buah zakar tetapi penyumbatan dalam saluran reproduktif menghalang sperma dikeluarkan ketika ejakulasi.

Keadaan yang juga di kenali sebagai Azoospermia Post-Testikular ini menjadi penyebab kepada lebih kurang 40% kes azoospermia.

Punca azoospermia obstruktif termasuk ketiadaan kongenital vas deferens (CAVD), jangkitan alat kelamin, vasektomi, atau kecederaan lain pada saluran reproduktif lelaki.

Azoospermia Non-Obstruktif (NOA) berlaku apabila sperma gagal dihasilkan oleh buah zakar. Keadaan ini juga dibahagikan kepada dua punca yang berbeza iaitu Azoospermia Pre-Testikular dan Azoospermia Testikular.

Azoospermia Pre-Testikular berlaku apabila terdapat perencatan pengeluaran hormon seks lelaki dan seterusnya menghalang testis dari menghasilkan sperma.

Ia boleh disebabkan oleh Sindrom Kallmann, Gangguan hypothalamus (sebahagian daripada otak) atau kelenjar pituitari, yang boleh disebabkan oleh rawatan radiasi atau ubat-ubatan tertentu, terutamanya ubat kemoterapi.

Azoospermia Testicular berlaku apabila terdapat kecacatan struktur atau fungsi buah zakar. Ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor dan kondisi seperti Anorchia (ketiadaan buah zakar), Cyptorchidism (buah zakar tidak berada ke dalam skrotum),

Kredit: https://fertilitypedia.org

Spermatogenic arrest (kegagalan buah zakar untuk menghasilkan sel sperma yang matang), Sindrom Klinefelter, Mumps orchitis (jangkitan buah zakar), tumor, penyakit kronik seperti kencing manis, sirosis hati, atau kegagalan buah pinggang.

Tapi, saya sihat dan sasa!

Memang tidak dinafikan, kebanyakan suami yang mempunyai masalah azoospermia adalah individu yang kelihatan sihat secara fizikal, malah ada di antara mereka juga bertubuh sasa.

Penggunaan suplemen untuk mengurangkan berat badan seperti sesetengah “fat burner” juga dikesan boleh menjadi antara punca lelaki sasa tanpa sperma!

Antara tanda fizikal lain yang boleh dikaitkan dengan azoospermia adalah saiz buah zakar yang kecil atau pembengkakan pada salur darah buah zakar.

Kecelaruan hormon seks dan kromosom lelaki?

Folikel stimulasi hormon (FSH) adalah hormon yang bertanggungjawab untuk merangsang buah zakar untuk menghasilkan sperma.

Apabila kapasiti penghasilan sperma berkurangan, kelenjar pituitari merembeskan lebih banyak FSH dalam usaha untuk ‘memaksa’ buah zakar melakukan tugas mereka. Oleh itu, jika seorang lelaki FSH meningkat dengan ketara,

ini adalah tanda bahawa buah zakarnya tidak menghasilkan sperma secara optimum. Hormon testosteron, prolaktin, hormon leutenizing (LH), dan hormon stimulasi tiroid (TSH) juga diukur untuk menilai status hormon seks lelaki.

Suami yang didiagnos mengalami azoospermia dan mempunyai tahap hormon FSH yang tinggi adalah disarankan untuk menjalani ujian penilaian status kromosom. Ujian in dapat mengesan penyakit genetic seperti Sindrom Klinefelter.

Dari Zero kepada Hero

Walau apa pun penyebab kepada azoospermia, misi utama pakar kesuburan adalah untuk membantu pasangan tersebut hamil.

Kebanyakan pesakit azoospermia akan disarankan untuk menjalani rawatan bayi tabung uji (IVF-ICSI) dimana sperma yang diperolehi melalui prosedur khas akan disenyawakan secara terus ke telur wanita yang dilakukan di dalam makmal IVF.

Kredit: https://www.shadygrovefertility.com

Untuk itu, sang suami harus gagah untuk menjalani ujian invasif yang melibatkan pembedahan kecil pada buah zakar.

Ujian yang dipanggil PESA (sedutan sperma daripada kelenjar buah zakar) atau TESE (ekstrak sperma daripada buah zakar) dapat mengesan kehadiran sperma dan tahap kematangan sperma tersebut.

Berdasarkan keputusan ini, pakar kesuburan akan menilai adakah suami perlu mengambil suntikan hormon untuk menggalakkan penghasilan sperma oleh buah zakar dan seterusnya menjalani rawatan IVF.

Rawatan untuk pesakit azoospermia adalah rumit dan unik untuk setiap individu. Ada sebilangan kecil suami yang memang tidak mampu untuk menjadi bapa kerana masalah kecelaruan kromosom.

Jesteru itu, berbincanglah dengan pakar kesuburan anda untuk rawatan yang optimum. Beranilah untuk tampil mendapatkan rawatan dan seterusnya menjadi hero kepada surihati anda!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Secured By miniOrange