TRAVELOG PERMATA HATI – PERTEMUAN PERTAMA : UJIAN KESUBURAN

Langkah paling utama dan penting yang perlu dilakukan oleh pasangan ttc (trying-to-conceive) adalah membuat keputusan untuk berjumpa doktor dan melakukan ujian kesuburan.

Sebagaimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, pemilihan doktor pakar kesuburan yang menepati citarasa pasangan adalah antara faktor penting yang akan menentukan halatuju travelog permata hati anda.

Saranan saya adalah untuk anda memilih doktor yang bukan sahaja menyenangkan dan professional, malah dapat menawarkan kepelbagaian rawatan yang bakal diberikan disamping itu mempunyai hubungan yang baik dengan rakan pakar kesuburan sama ada di hospital swasta mahupun kerajaan.

Harapan pada pertemuan pertama

Setelah melalui pelbagai dilema dan berperang dengan perasaan sendiri, Puan X akhirnya mengambil keputusan untuk berjumpa dengan doktor. Sepanjang perjalanan menuju ke Pusat IVF, pelbagai persoalan yang bermain di minda pasangan ini;

Puan X : “Tak sabarnya nak jumpa Dr.M. Tak sabarnya nak mengandung!”
Encik X : “Aku yakin, bukan aku yang mandul. Eh, tapi kalau aku penyebabnya? Menyesal pula setuju dengan isteri untuk jumpa doktor.”

Kebanyakan pasangan meletakkan harapan yang sangat tinggi sebelum berjumpa dengan pakar kesuburan. Nasihat saya, lapangkan dada dan buka minda anda ketika pertama kali bertemu doktor kerana ada kemungkinan persoalan yang diajukan akan berbaur sensitif, sulit atau memalukan.

Berlaku jujurlah dengan doktor anda agar solusi yang ideal dapat ditawarkan untuk anda berdua. Bagi pesakit saya sendiri, saya amat menitikberatkan untuk kedua-dua pasangan hadir pada temujanji pertama kerana pada pertemuan pertama inilah saya akan menerangkan dengan terperinci bagaimana kehamilan berlaku dan kenapa beberapa siri ujian untuk kesuburan perlu dilakukan oleh pasangan ttc.

Pemahaman kedua belah pihak mengenasi proses kehamilan amat penting kerana in berkait rapat dengan rawatan kesuburan yang bakal ditawarkan.

Imbasan pelvis & ujian ‘Pap smear’

Ujian imbasan pelvis atau ‘ultrasound scan’ adalah ujian penting untuk mengimbas keadaan dan kedudukan rahim, dinding dalam rahim (endometrium) di mana implantasi embryo berlaku dan kilang telur (ovari).

Ujian ini boleh dilakukan melalui dua kaedah iaitu transabdminal (di atas perut) atau transvaginal (melalui vagina). Melalui ujian ini, doktor dapat mengesan fibroid, sist di ovari, jumlah folikel di ovari, polisistik ovari dan endometrial polyp.

Ini kemudiannya disusuli dengan ujian ‘Pap smear’ iaitu saringan pangkal rahim bagi mengesan sel-sel yang tidak normal atau jangkitan kuman pada pangkal rahim atau serviks. Ujian Pap smear adalah antara ujian yang ‘digeruni’ oleh kaum wanita kerana ia melibatkan prosedur yang memerlukan wanita untuk mendedahkan alat sulit dan ujian dijalankan melalui vagina.

Jangan bimbang kerana ia sebenarnya bukanlah satu prosedur yang menyakitkan. Anda hanya perlu bertenang, menurut arahan doktor dan yakin kepada doktor yang merawat anda!

Transvaginal Ultrasound

Kecelaruan hormon wanita?

Lebih kurang 25-30% wanita yang mengalami masalah untuk hamil disebabkan oleh faktor kecelaruan hormon. Wanita perlu menjalani ujian darah untuk mengesan masalah kecelaruan hormon.

Hormon utama wanita yang merangsang perkembangan folikel di ovari dan ketebalan dinding rahim adalah Follicular Stimulating Hormone (FSH) dan Luteinizing Hormone (LH).

Ujian untuk menentukan paras kedua-dua hormon ini perlu diambil pada hari kedua haid. Untuk mengetahui sama ada wanita mengalami ovulasi setiap bulan, ujian darah pada hari ke 21 haid diambil untuk menentukan paras hormon progesteron. Selain daripada 3 hormon utama ini, para hormon lain yang juga perlu diuji termasuk hormone tiroid (TFT) dan prolaktin. Sekiranya pakar kesuburan mengesyaki anda mengalami sindrom polisistik ovari (PCOS), paras hormon testosterone, paras gula dan kolestrol dalam darah juga akan diuji.

Tiub Peranakan tersumbat?

Kebanyakan wanita tidak berapa mengambil tahu mengenai kepentingan tiub peranakan atau tiub fallopio. Tiub ini merupakan jambatan yang menghubungkan rahim dan ovari.

Tanpa tiub yang normal, adalah mustahil untuk sperma berenang mencari telur wanita (ovum) yang sedia menunggu untuk disenyawakan di hujung tiub fallopio (ampula). Terdapat dua ujian untuk memastikan bahawa tiub fallopio tidak tersumbat iaitu hysterosalpingogram (HSG) atau laparoscopic and dye test. Ujian HSG merupakan ujian mudah yang dilakukan oleh pakar radiologi yang melibatkan sinar-x.

Pesakit akan melalui prosedur seakan ujian Pap smear di mana pewarna (dye) akan disuntik melalui serviks ke dalam rahim dan tiub fallopio. Kemudian sinar-x akan dipancarkan dan ini membolehkan pakar radiologi melihat jika terdapat penyumbatan pada tiub fallopio atau masalah di dalam rahim.

Saya dah cukup gagah, tak perlu rasanya diperiksa?

Tahap kesuburan lelaki tidak dapat diukur hanya kebolehan untuk melakukan hubungan intim dan ereksi! Maka bersedialah untuk melakukan ujian air mani (seminal fluid analysis/ SFA).

Jangan risau… mudah sahaja. Suami hanya perlu keluarkan air mani, tidak melibatkan suntikan oleh jarum yang tajam! Air mani suami akan dianalisa untuk melihat kuantiti dan kualiti sperma berdasarkan piawaian World Health Organisation (WHO), 2010.

Temujanji susulan?

Setelah melalui siri-siri ujian kesuburan, apa yang perlu pasangan lakukan adalah bertenang dan teruskan kehidupan suami isteri seperti biasa sementara menunggu keputusan ujian-ujian tersebut.

Di temujanji berikutnya, persoalan kesuburan yang membelenggu anda dan pasangan anda akan dirungkaikan dengan sebaiknya oleh pakar kesuburan. Insya allah, setiap permasalahan akan ada jalan penyelesaiannya. Apa yang penting adalah kerjasama anda, pasangan anda dan pakar yang merawat anda!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *