TRAVELOG PERMATA HATI – Doc.. Adakah Rizab Ovari Saya Rendah?

Fisiologi Ovari (Kilang Telur Wanita)

Wanita dianugerahkan dengan sepasang ovari dan tiub fallopio. Ketika masih dalam kandungan ibu, bayi perempuan mempunyai lebih kurang 2 juta telur pramatang (oosit primer).

Jumlah oosit primer akan berkurangan kepada 300-400 ribu ketika wanita mula mendapat kitaran haid yang pertama.

Ini adalah rizab telur wanita sehinggalah beliau menopause pada usia lebih kurang 51 tahun di mana rizab akan menjadi sifar.

Sepanjang fasa reproduktif iaitu di antara umur 15-44 tahun, wanita akan mengalami lebih kurang 500 kitaran haid dan akan kehilangan lebih kurang 10-20 oosit pada setiap kitaran.

Apa definisi rizab ovari rendah

Kuantiti dan kualiti gugusan folikel primordial ovari menakrifkan ‘ovarian reserve’ atau rizab ovari. Rizab ovari yang rendah atau ‘Poor Ovarian reserve’ (POR) didefinisikan sebagai pengurangan kuantiti folikel ovari bagi wanita yang berada di dalam lingkungan kumpulan umur reproduktif dan merupakan penyebab penting ketidaksuburan di kalangan pasangan infertiliti.

Rizab ovari yang berkurangan adalah fenomena yang sering menjadi dilema bagi wanita yang berada di dalam lingkungan umur pertengahan hingga lewat tiga puluhan.

Namun begitu ia juga boleh menjejaskan golongan wanita muda. Secara saintifik, adalah dipercayai terdapat penurunan yang mendadak kepada gugusan folikel pada usia 37- 38 tahun sehingga boleh mencapai di bawah paras kritikal iaitu sebanyak 25,000.

Dalam tempoh ini, masa untuk berlakunya persenyawaan secara semulajadi adalah sangat terhad.

Fenomena ini juga diiringi oleh penurunan kualiti oosit wanita akibat proses ‘penuaan oosit’ dengan bertambahnya umur wanita.

Penyebab rizab ovari rendah Usia wanita merupakan faktor utama yang dikaitkan dengan ‘penurunan semula jadi’ rizab ovari.

Namun begitu terdapat juga faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada kemerosotan rizab ovari seperti penyakit endometrioma, jangkitan keradangan pelvik, pembedahan ovari dan rawatan kemoterapi atau radioterapi.

Faktor etiologi tersebut dipercayai menjadi pendorong kepada terjejasnya endokrin intrafollikular dan mekanisme pengawalseliaan yang lain, mengurangkan aktiviti aromatase, menurunkan aktiviti biologi gonadotropin, dan seterusnya menyebabkan ketidaksuburan wanita.

Bagaimana untuk mengetahui rizab ovari saya?

Bagi wanita yang berusia 35 tahun ke atas, pakar kesuburan akan menjalankan ujian rizab ovari jika mereka sedang berusaha untuk hamil.

AMH atau hormon anti-mullerian merupakan antara ujian darah utama yang sering dikaji oleh pakar kesuburan bagi menentukan rizab ovari.

Ujian darah ini boleh diambil pada bila-bila masa sepanjang kitaran haid. Hormon anti- mullerian dihasilkan oleh sel-sel dalam folikel ovari dan merupakan antara cara awal bagi menentukan berapa banyak baki rizab yang masih terdapat dalam ovari.

Ujian kedua untuk menilai rizab ovari yang kian merosot ialah kiraan antral folikel atau ‘Antral Follicle Count’ (AFC).

Ujian ini dilakukan antara hari kedua ke keempat kitaran haid dengan bantuan imbasan ultrabunyi merentasi vagina (transvaginal scan) dimana setiap antral folikel yang ada di ovari akan dihitung. Saiz antral folikel lazimnya berukuran 2-10mm dan secara amnya, jumlah AFC yang kurang daripada 4 menandakan rizab ovari yang rendah.

Apa yang perlu saya lakukan?

Bagi wanita ttc yang berumur lebih 35 tahun dan berkeinginan untuk menjalani rawatan kesuburan, anda disarankan untuk tidak melengahkan waktu berjumpa dan berbincang dengan pakar kesuburan pilihan hati anda.

Lakukan ujian AMH dan AFC untuk menjangkakan rizab ovari anda dan berdasarkan keputusan ujian tersebut, pakar kesuburan anda akan mencadangkan rawatan kesuburan yang bersesuaian. Pengambilan suplemen tambahan seperti Vitamin E, CoQ10 enzyme,

Vitamin C dan Folic Acid telah terbukti berkesan membantu meningkatkan KUALITI telur wanita, namun untuk meningkatkan KUANTITI adalah sukar sekiranya rizab ovari rendah.

Setiap pasangan ttc adalah unik dan rawatan kesuburan juga adalah unik dan ‘custom-made’ bagi setiap pasangan.

Bersegeralah mencari pakar kesuburan pilihan hati anda kerana dengan peningkatan usia pasangan wanita, rizab ovari kian merundum.

Jangan bertangguh wahai pasangan ttc! Masa itu emas dan setiap telur wanita juga adalah ibarat emas!

KLIK DISINI UNTUK JOINT FACEBOOK GROUP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *