TRAVELOG PERMATA HATI – SUBURKAH SAYA?

Definisi Ketidaksuburan

Dalam era siber dan internet, di mana semua informasi di hujung jari, masyarakat dilihat seperti lebih terbuka untuk membicarakan tentang ketidakseburan. Berlari jauh dari penggunaan perkata ‘mandul’ yang menjadi satu stigma & trauma kepada pasangan, masyarakat kini lebih peka dengan penggunaan istilah seperti ‘infertiliti’ atau ‘ketidaksuburan’.

Definisi Infertiliti oleh World Health Organization (WHO): Penyakit sistem pembiakan yang ditakrifkan sebagai kegagalan untuk mencapai kehamilan klinikal selepas 12 bulan atau lebih menjalani hubungan seks.

Infertiliti dikategorikan kepada:

  • Infertiliti Primer : Wanita yang tidak pernah mengandung disebabkan oleh ketidakmampuan untuk menjadi hamil
  • Infertiliti Sekunder : Wanita yang pernah mengandung, sama ada kandungan yang berjaya sampai ke kelahiran bayi atau pun mengandung tetapi mengalami keguguran, kandungan luar rahim atau kandungan molar

Bila saya perlu berjumpa doktor?

Walaupun pusat-pusat reproduktif atau infertiliti menerima kunjungan dan rujukan yang maksima saban hari, masih terdapat segelintir pasangan yang keliru atau malu dan sering tertanya-tanya’ “suburkah aku? Adakah kita bermasalah?

Golongan inilah yang lazimnya terpinggir dan hanya tampil mendapatkan rawatan apabila tempoh perkahwinan sudah agak lama iaitu lebih dari 2 tahun. Menurut kajian saintifik, semakin lama tempoh infertiliti, semakin sukar untuk mendapatkan anak.

Bagi wanita yang berusia kurang daripada 35 tahun, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat pakar apabila usia perkahwinan telah mencecah 1 tahun. Berlainan pula dengan pasangan yang berusia 35 ke 39, mereka perlu bertemu dengan pakar kesuburan seawal 6 bulan setelah berkahwin dan terus mendapatkan rawatan.

Bagi wanita yang berusia 40 ke atas, rawatan kesuburan dimulakan seawal mungkin kerana mengambil kira faktor usia wanita dimana simpanan ovari (ovarian reserve) semakin menurun dengan peningkatan umur wanita.

Bolehkah saya tahu tahap kesuburan saya tanpa berjumpa doktor?

Manifestasi ketidaksuburan setiap wanita adalah berbeza-beza. Ada segelintir wanita yang mengalami senggugut (dysmenorrhea) , masalah haid tidak teratur (oligomenorrhea) atau haid yang banyak (menorrhagia), masalah sakit ketika melakukan hubungan intim (dyspareunia) dan ada juga yang tidak mempunya apa-apa symptom langsung.

Harus diingatkan juga, ‘it takes two to tango!’, maka suami juga mungkin menjadi penyumbang kepada faktor ketidaksuburan. Tahap kesuburan lelaki tidak dapat diukur hanya kebolehan untuk melakukan hubungan intim dan ereksi!

Apakah yang akan doktor tanya?

Dalam membantu pasangan yang mengalami masalah ketidaksuburan, antara perkara penting yang akan doktor tanya ialah mengenai kitaran haid.

Lazimnya kitaran haid wanita adalah di antara 28-30 hari. Menurut definisi klinikal, kitaran haid yang normal boleh jadi paling pendek 21 hari atau paling panjang 35 (21-35). Kitaran yang keluar daripada definisi ini dianggap tidak normal.

Kecanggihan telefon pintar masa yang dilengkapi dengan pelbagai aplikasi mudah seperti ‘my calender’ yang dapat membantu wanita untuk memantau kitaran haid. Keputusan untuk bertemu doktor dan mendapatkan rawatan kesuburan mungkin satu keputusan yang besar bagi segelintir pasangan.

Ini adalah kerana pasangan akan terpaksa berkongsi dengan doktor mengenai masalah yang melibatkan kehidupan privasi mereka; dalam erti kata lain ‘masalah di dalam selimut’. Maka, pilihlah doktor yang anda rasa menyenangkan, profesional dan mudah diajak berbincang kerana ini merupakan antara faktor penting yang akan menentukan halatuju travelog permata hati anda!

KLIK DISINI UNTUK JOINT FACEBOOK GROUP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *