Pulmonari Embolism : Pembunuh Senyap Ibu Dalam Pantang

“Doc, saya pernah mendengar cerita mengenai kematian mengejut seorang ibu. Beliau baru sahaja melahirkan bayi ke empat beliau.

Sedang beliau menyusukan bayi, tiba-tiba beliau tidak sedarkan diri dan tidak lama kemudian diistiharkan meninggal dunia oleh doktor yang bergegas memberikan bantuan kecemasan. Kejadian berlaku kira-kira dalam 12 jam selepas pembedahan cesarean. Ini memang menakutkan saya untuk bersalin Doc.

Kematian mengejut ibu selepas bersalin boleh dikaitkan dengan Venous Thromboembolism iaitu satu keadaan di mana darah beku terbentuk di dalam saluran darah yang berpotensi untuk menyebabkan salur darah ke paru-paru tersumbat yang dikenali sebagai pulmonary embolism.

Berdasarkan laporan Kematian Ibu Mengandung (Maternal Mortality) di Malaysia, di anggarkan kadar kematian ibu disebabkan oleh pulmonary embolism  adalah 1.5 (tahun 2007) dan meningkat ke 4.7 (tahun 2016) pada setiap 100,000 kelahiran iaitu kira-kira 7 hingga 24 kematian setahun.

Kejadian ini jarang berlaku namun, ianya boleh menyebabkan kematian ibu secara mengejut. Kebanyakkan kes, hanya dapat disahkan oleh pihak forensik ketika autopsi post-mortem. Ia merupakan salah satu punca utama yang menyumbang kepada statistik kematian ibu mengandung dan semasa berpantang (maternal mortality) selain daripada tumpah darah selepas bersalin dan penyakit darah tinggi.

Fisiologi Kehamilan

Perubahan fisiologi semasa hamil adalah merupakan adaptasi normal yang perlu bagi mempersiapkan wanita untuk proses bersalin yang pastinya akan melibatkan kehilangan darah daripada rahim apabila uri terpisah daripada dinding rahim.

Darah wanita hamil adalah lebih pekat daripada wanita biasa. Peningkatan hormon estrogen dan progesteron ketika hamil turut menyumbang kepada perubahan sistem pembekuan darah wanita. Ini menyebabkan darah beku mudah terbentuk di dalam saluran darah wanita hamil.

Kredit: https://edhub.ama-assn.org

Lazimnya, fenomena darah beku akan terbentuk di saluran darah kaki dahulu. Pengumpulan darah beku di bahagian kaki dikenali sebagai penyakit ‘deep vein thrombosis’. Pengumpulan darah beku ini boleh mengakibatkan salur darah tersumbat dan sekiranya darah beku tersebut pecah ia akan mengakibatkan saluran darah ke paru-paru tersumbat (pulmonary embolism).

Bagaimana darah beku terbentuk?

Trombosis berlaku apabila terdapat gangguan kepada Triad Virchow iaitu

Perubahan fisiologi kehamilan bagi mempersiapkan wanita untuk proses kelahiran, menyebabkan wanita hamil tergolong di dalam golongan ‘hypercoagulable state’. Keadaan rahim yang sarat juga memberi tekanan ke atas salur darah inferior vena cava (kedudukannya berada di belakang rahim) dan menyebabkan pengaliran darah menjadi agak statik.

Ditambah pula dengan peningkatan hormon progesteron, ini membuatkan salur darah menjadi lebih mengembang dan turut menyumbang kepada ‘venous stasis’.

Siapa yang berisiko tinggi?

“Doc, 4 tahun dulu saya bersalin tanpa sebarang masalah. Jadi saya terkejut apabila kali ini doktor kata saya berisiko tinggi untuk mendapat penyakit pulmonary embolis. Kenapa Doc? “

Akibat perubahan fisiologi sebagai adaptasi kehamilan, semua wanita yang mengandung dan juga dalam tempoh berpantang adalah berisiko untuk mendapat penyakit pulmonary embolism.

Namun begitu, perhatian yang lebih perlu diberikan kepada wanita berikut kerana risiko untuk mendapat pulmonary embolism  akan menjadi lebih tinggi;

  • Berumur lebih daripada 35 tahun
  • Berat melebihi 80kg atau BMI lebih 30kg/m 2
  • Mempunyai anak lebih daripada 2 orang
  • Kandungan kembar
  • Menjalani pembedahan caesarean
  • Penyakit pre-eklampsia
  • Merokok
  • Lumpuh dan tidak boleh bergerak melebihi 3 hari
  • Dehidrasi / OHSS
  • Pernah mendapat penyakit darah beku sebelum mengandung atau pada kandungan dahulu
  • Tumpah darah semasa bersalin (melebihi 1 liter)
  • Mendapat transfusi darah semasa mengandung atau selepas bersalin
  • Penyakit yang menyebabkan kelikatan darah seperti thrombophilia, protein S deficiency, anti phospholipid syndrome
  • Apa-apa pembedahan yang dilakukan sepanjang tempoh mengandung atau semasa berpantang
  • Menaiki penerbangan jarak jauh melebihi 4 jam

Gejala deep vein thrombosis dan pulmonary embolism 

Hakikatnya, sukar untuk wanita hamil meramalkan bila penyakit yang boleh mengundang maut ini akan menimpa mereka.

Antara gejala awal yang perlu diberikan perhatian serius oleh wanita hamil adalah bengkak pada salah satu kaki yang berlaku secara tiba-tiba dan sakit pada betis ketika berjalan. Sekiranya ini berlaku, pesakit perlu segera melaporkan kepada doktor agar ujian khas dan rawatan dapat diberikan seawal mungkin bagi mengelakkan darah beku pada saluran darah kaki pecah pada bila-bila masa dan mengakibatkan pulmonary embolism

Darah beku ini kemudiannya menyumbatkan saluran darah paru-paru dengan cepat. Akibatnya, sistem pernafasan dan sistem jantung mangsa akan terhenti secara tiba-tiba. Majoriti pesakit yang menjadi mangsa pulmonary embolism berada dalam keadaan pengsan apabila ditemui.

Malah lebih menyayat hati, terdapat segelintir wanita diusung ke hospital dalam keadaan koma atau sudah tidak bernyawa lagi.

Anak panah menunjukkan berlaku Deep Vain Trombosis

Tanda-tanda pulmonary embolism:

  • Bengkak kaki dan sakit pada betis (lazimnya salah satu kaki sahaja)
  • Sukar untuk bernafas
  • Sakit dada
  • Batuk berdarah
  • Nadi sangat laju
  • Muka kelihatan pucat atau kebiruan
Kredit: https://cancerclot.info

Apa yang boleh doktor lakukan untuk anda?

Setiap ibu hamil akan disaring untuk menilai sama ada ibu tersebut diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi atau rendah untuk mendapat pulmonary embolism (rujuk jadual).

Berdasarkan risiko dan gejala, ibu akan menjalani pemeriksaan fizikal dan ujian khas seperti ECG (alat untuk memeriksa ritma jantung), X-ray dada, pemeriksaan darah ABG (untuk mengesan peratusan oksigen dan karbon dioksid di dalam darah) atau pun CTPA (CT scan untuk melihat saluran darah ke paru-paru). Ubat pencair darah akan diberikan kepada ibu yang didapati positif ujian tersebut.

Prevention & Treatment Of Thromboembolism In Pregnancy And Puerperium: A Training Manual; 2 nd Edition
2018, MOH/K/ASA/87.17(HB)

Tips untuk mengelakkan diri daripada Pulmonary Embolism?

Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh ibu-ibu amalkan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa pembunuh senyap  pulmonary embolism;

  • Pastikan berat badan ideal sebelum hamil (tidak obes)
  • Mengamalkan pemakanan seimbang ketika hamil bagi mengelakkan pertambahan berat badah yang berlebihan (kenaikan normal berat badan 8 -12.5kg)
  • Sentiasa minum air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi
  • Aktif bergerak dan berjalan
  • Menggunakan  TED stokin (stokin khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada
  • kaki) pada waktu malam atau semasa menaiki pesawat penerbangan jauh
  • Mematuhi nasihat doktor untuk pengambilan ubat suntikan pencair darah bagi kes-kes tertentu yang telah dinilai oleh doktor.

Rujukan : Prevention & Treatment Of Thromboembolism In Pregnancy And Puerperium: A Training Manual; 2 nd Edition 2018, MOH/K/ASA/87.17(HB)

NI UNTUK JOINT FACEBOOK GROUP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *