Induce semasa dalam proses bersalin, kenapa ia perlu dilakukan?

SOALAN

Saya sedang hamil anak kedua. Semasa anak pertama, saya dipaksa untuk induce kerana komplikasi tekanan darah tinggi. Untuk makluman, saya masih lagi mengalami tekanan darah tinggi tetapi terkawal. Apakah untuk kelahiran anak kedua ini pun, saya akan melalui proses yang sama iaitu dipaksa bersalin awal dengan bantuan induce?

Wani
Seri Kembangan, Selangor

JAWAPAN

‘Induction of Labour (IOL)’ atau induksi kelahiran adalah satu prosedur berisiko tinggi kepada ibu mengandung yang masih belum bermula proses kelahiran, dengan memaksa agar proses kelahiran bermula melalui kaedah ubat ataupun mekanikal yang menghasilkan kontraksi rahim dan bukaan pintu rahim (servik).

Berdasarkan data American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), dijangkakan lebih kurang 20-40% kelahiran adalah dipaksa melalui kaedah ‘induce’. Bukan semua ibu yang pernah di paksa kelahiran perlu melalui kaedah tersebut sekali lagi pada kandungan seterusnya.

Namun begitu, dalam kes puan, memandangkan puan mempunyai darah tinggi, proses kelahiran puan perlu dipaksa pada minggu ke-40 sekiranya puan masih tiada tanda untuk bersalin, atau pada minggu ke-38 sekiranya darah tinggi puan dikawal dengan ubat makan.

Apakah antara penyebab proses kelahiran perlu di paksa?

  • Pertumbuhan bayi yang terbantut atau tidak membesar dengan kadar
    pertumbuhan yang sepatutnya.
  • Air ketuban telah pecah tetapi ibu masih tidak mempunyai kontraksi
  • Masalah uri yang tidak dapat membekalkan nutrisi dan oksigen kepada bayi dalam kandungan
  • Kandungan matang yang telah melebihi 42 minggu
  • Kandungan yang telah matang tetapi mempunyai air ketuban pada paras rendah dari normal (oligohydramnios)
  • Ibu mempunyai penyakit seperti diabetes atau darah tinggi


Bagaimana proses IOL dikendalikan?

Memandangkan prosedur ini diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi, ia perlu diputuskan dan dikendalikan di hospital yang mempunyai pakar perbidanan. Pesakit dan suami harus faham kenapa kelahiran perlu dipaksa, kebaikan prosedur dan juga risiko yang mungkin terjadi kepada ibu dan bayi.

Doktor pakar akan memastikan bahawa keadaan ibu dan bayi adalah memuaskan sebelum prosedur dilakukan. Ini dilakukan dengan menjalankan pemeriksaan klinikal, ultrasound bayi, cardiotocography dan menilai Bishop score pangkal rahim ibu.

Setelah menimbal-balik indikasi & keadaan ibu, doktor pakar akan menentukan kaedah-kaedah IOL yang sesuai untuk pesakit. Antara kaedah
yang sering digunakan :

Ubat Prostaglandin : ia adalah suppositori yang dimasukkan ke dalam faraj yang bertindak mencetuskan kontraksi dan melembutkan serviks dan seterusnya menyebabkan pembukaan serviks.

Ubat Oksitosin : ia adalah sejenis ubat hormon berbentuk cecair yang disalurkan melalui salur darah ibu untuk merangsang otot-otot rahim supaya mengecut bagi menghasilkan kontraksi dan mempercepatkan proses kelahiran.

Kaedah mekanikal : seperti amniotomi di mana selaput air ketuban akan dipecahkan menggunakan satu alat nipis yang khusus; atau penggunaan dilator higroskopik, alat penyerap cecair serviks yang dimasukkan dicelah serviks lantas mengembang dan seterusnya menyebabkan pintu rahim membuka secara berperingkat.

Ada juga sesetengah hospital yang menggunakan belon pada salur tiub kencing (foley’s catheter) untuk mendapatkan kesan yang sama seperti
dilator higroskopik.

Tidak dinafikan bersalin secara IOL adalah lebih sakit daripada bersalin secara semulajadi. Namun begitu ada segelintir pesakit yang membuat permintaan untuk di ‘induce’ atas faktor sosial seperti inginkan tarikh tertentu sebagai tarkh lahir anak.

Doktor pakar tidak akan sesekali mencadangkan prosedur IOL tanpa sebarang indikasi yang kukuh kerana ia juga mempunyai risiko seperti rangsangan rahim yang berlebihan (hyperstimulation) menyebabkan bayi lemas dan koyakan teruk pada rahim atau rahim pecah, tumpah darah yang teruk selepas melahirkan dan ibu juga berisiko untuk
kehilangan rahim.

Pelbagai persatuan obstetrik dan ginekologi di seluruh negara bersependapat bahawa kelahiran semulajadi masih yang terbaik bagi pesakit SEKIRANYA tiada indikasi klinikal yang mewajibkan ibu untuk di ‘induce’. Berbincanglah dengan pakar perbidanan anda untuk memilih kaedah yang terbaik bagi kelahiran anda agar kedua-dua nyawa ibu dan
bayi terjamin.

KLIK DISINI UNTUK JOINT FACEBOOK GROUP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *