Bagaimana hendak mengatasi kekurangan sel darah merah iaitu kadar ‘hemoglobin (Hb)’ atau anemia semasa mengandung?

SOALAN

Apakah penyelesaian terbaik jika sewaktu hamil, seseorang itu mengalami tahap Hb rendah? Apakah ada makanan tertentu yang perlu diambil atau mesti dielakkan supaya Hb berada pada tahap yang telah ditetapkan oleh doktor?
Azni
Kuala Kangsar, Perak

JAWAPAN

Perubahan fisiologi wanita ketika hamil sebagai adaptasi badan untuk memenuhi keperluan bayi yang dikandung akan menyebabkan wanita hamil berkecenderungan untuk mengalami kekurangan sel darah merah iaitu kadar ‘hemoglobin (Hb)’ yang rendah, atau dalam bahasa saintifik, anemia.

Jumlah darah dalam tubuh wanita hamil bertambah sekitar 20-30 peratus, dan ini menyebabkan peningkatan permintaan terhadap bekalan besi dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh untuk membuat hemoglobin. Hemoglobin adalah protein kompleks yang terdapat dalam sel darah merah yang mengandungi molekul zat besi.




“Fungsi utama hemoglobin adalah untuk mengangkut oksigen dari paru-paru ke seluruh tisu badan. Apabila tisu tidak menerima jumlah oksigen yang mencukupi, banyak organ dan fungsi akan terjejas.”




Berdasarkan statistik WHO Global Database on Anemia, peratusan penghidap penyakit anemia ketika mengandung di Malaysia dianggarkan 38%. Anemia semasa kehamilan adalah sangat membimbangkan kerana ia dikaitkan dengan bayi yang dilahirkan kurang berat badan dan kelahiran pramatang.

Tambahan pula, ada juga kajian yang menunjukkan peningkatan risiko kematian bayi sebelum atau selepas kelahiran sekiranya ibu mengalami anemia yang serius. Ibu turut tidak terlepas daripada mengalami komplikasi anemia; ini termasuk sepsis, risiko mendapat preeklamsia, kegagalan fungsi jantung dan tumpah darah selepas bersalin sehingga membawa maut.

Para saintis dan doktor pakar telah mengesan lebih 400 jenis-jenis anemia. Namun anemia yang paling sinonim dengan kehamilan adalah :

1) Anemia akibat kekurangan zat besi (Iron Deficiency Anemia)

2) Anemia akibat kekurangan asid folik (Folate Deficiency Anemia)

3) Anemia akibat kekurangan vitamin B12 (B12 Deficiency Anemia)

4) Thalassemia

Wanita hamil yang berisiko untuk mengalami anemia sekiranya :

Mengandung lebih daripada sekali (multipara)
Jarak kehamilan yang sangat dekat (kurang dari 2 tahun)
Mengalami haid yang banyak sebelum hamil
Pengambilan nutrien yang kurang / vegetarian
Kehamilan remaja

Antara gejala yang mungkin dirasai oleh wanita hamil yang mengalami anemia adalah cepat keletihan dan tidak bermaya, pening, rasa mengah dan sesak nafas, denyutan jantung laju atau tidak teratur, berdebar-debar, sakit dada, kulit pucat, serta kadangkala mempunyai masalah menumpukan perhatian.

Klasifikasi anemia ketika mengandung yang digariskna oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) :

Bagaimanakah mengatasi dan merawat anemia ketika mengandung?

Lazimnya, vitamin pranatal mengandungi zat besi. WHO telah menggariskan panduan untuk wanita hamil mengambil vitamin pranatal yang mengandungi zat besi dan asid folik bagi membantu mencegah dan merawat anemia semasa hamil. Dalam sesetengah kes yang agak serius dan kronik, pakar sakit puan anda mungkin mencadangkan preskripsi zat besi yang berasingan dengan kandungan zat besi yang lebih tinggi.

Semasa mengandung, wanita hamil memerlukan sekurang-kurangnya 27 miligram zat besi sehari dan 400microgram folil asid sehari. WHO juga menyarankan untuk wanita meneruskan pengambilan zat besi sehingga 3 bulan selepas melahirkan anak untuk menggantitambah zat besi yang hilang ketika proses kelahiran dan semasa pantang.

Tabiat pemakanan yang seimbang boleh mencegah anemia semasa mengandung. Sumber makanan yang mengandungi zat besi termasuklah daging merah, ayam dan ikan. Pilihan lain termasuk sayuran hijau seperti bayam, bijirin dan kekacang seperti kacang peas dan juga jus prune. Zat besi dari produk haiwan, seperti daging, paling mudah diserap.

Untuk meningkatkan penyerapan optimum zat besi dari vitamin tambahan seperti Obimin atau Iberet, ibu hamil hendaklah mengambilnya dengan makanan atau minuman yang tinggi kandungan vitamin C seperti jus oren, jus tomato atau strawberi.

Jika anda juga mengambil kalsium ketika hamil, adalah digalakkan untuk mengambil kalsium secara berasingan iaitu sekurang-kurangnya 4-6 jam berasingan daripada pengambilan zat besi. Walaupun kalsium adalah nutrien penting semasa mengandung, kalsium dapat merencatkan kadar penyerapan zat besi. Begitu juga dengan pengambilan kafein; maka ibu disarankan untuk mengurang pengambilan kafein kepada secawan sehari atau sebaiknya berhenti terus ketika hamil.

Satu lagi tips yang mungkin ibu kurang arif adalah pengambilan zat besi tidak boleh diambil bersama dengan susu diatas sebab yang sama seperti kafein. Ibu boleh mengambil susu, tapi jarakkan masa pengambilan dengan zat besi!

Rawatan yang lebih kompleks bagi anemia semasa hamil adalah disasarkan untuk mengembalikan kadar Hemoglobin dalam darah ke paras normal seperti garis panduan WHO iaitu 11g/dL. Transfusi darah diperlukan bagi pesakit yang mempunyai paras hemoglobin yang sangat rendah dan mengalami simptom yang teruk (contohnya kelemahan dan kelesuan) atau simptom kardiopulmonari (contohnya degupan jangtung laju dan sesak nafas).

Perlu diingat bahawa simptom anemia seringkali seakan sama dengan gejala kehamilan umum. Tidak kira sama ada anda mengalami gejala atau tidak, adalah menjadi polisi kementerian kesihatan untuk memastikan setiap wanita hamil menjalani ujian darah bagi memantau anemia semasa kehamilan. Jika anda mempunyai keraguan tentang tahap keletihan anda atau apa-apa simptom kehamilan yang lain, anda dinasihatkan untuk memaklumkannya kepada doktor yang merawat anda.

KLIK DISINI UNTUK JOINT FACEBOOK GROUP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Secured By miniOrange