Seluruh dunia bersetuju bahawa penyusuan susu ibu adalah kaedah terbaik bagi bayi memperolehi zat yang diperlukan. Pelbagai kajian saintifik telah menunjukkan individu yang membesar dengan penyusuan susu ibu didapati mempunyai tekanan darah yang terkawal dan rendah paras kolesterol.
Mereka juga didapati kurang berkemungkinan untuk mengalami masalah berat badan berlebihan serta Diabetes Mellitus jenis 2 di samping mempunyai prestasi yang lebih baik dalam ujian kecerdasan minda.
PERMULAAN YANG BAIK
Untuk mendapatkan hasil yang terbaik dalam setiap urusan, haruslah bermula dengan niat dan perancangan yang baik. Walaupun penyusuan susu ibu adalah sesuatu yang semulajadi, tetapi ia bukanlah sesuatu yang lahir dari naluri sahaja.
Perkara utama yang harus bakal ibubapa lakukan adalah menyematkan niat untuk menyusukan bayi seawal trimester pertama kehamilan. Ya! Ibubapa… bukan ibu sahaja! Bapa merupakan individu yang paling penting dan merupakan penyokong kuat kepada ibu yang bakal menyusukan bayi mereka.
Kedua-duanya harus bersedia fizikal, mental dan spiritual untuk memastikan penyususan susu ibu berjaya dilaksanakan dengan efektif. Seiring dengan niat murni ini, bakal ibubapa harus membuat persediaan awal semasa kehamilan dengan menghadiri kelas antenatal di mana pelbagai informasi mengenai penyusuan bayi juga diselitkan di dalam kelas ini.
Kesedaran tentang kepentingan penyusuan susu ibu telah lama bertapak di hati rakyat Malaysia. Jadi, bakal ibubapa tidak perlu gusar kerana informasi penyusuan bukan sahaja disalurkan oleh pihak hospital, malah dari pelbagai individu dan NGO melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook dan Instagram. Cuma ibubapa hanya perlu bijak untuk memilih sumber rujukan yang boleh dipercayai dan selamat.
PERSEDIAN KETIKA HAMIL
Penjagaan kehamilan yang baik datang daripada ibubapa sendiri. Si bapa haruslah peka dengan perubahan dan symptom yang dialami oleh ibu. Pastikan ibu tidak culas dalam menghadiri rawatan antenatal, mengambil vitamin seperti yang disarankan oleh doktor dan mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang ketika hamil. Ini semua adalah antara faktor penting yang juga mempengaruhi kualiti susu ibu.
Sepanjang kehamilan, ibu akan mula merasai perubahan terhadap saiz payudara, bentuk puting dan warna kulit di sekitar areola. Sebenarnya tiada penjagaan khusus untuk puting atau payudara ibu. Ibu hanya perlu pastikan bra dapat memberikan sokongan yang sempurna terhadap perubahan payudara.
Oleh kerana payudara ibu semakin membesar, ibu perlu membeli bra khusus untuk penyusuan yang dapat menyediakan ruang untuk payudara membesar. Ibu hanya perlu membasuh payudara dengan air suam sahaja, jangan gunakan sebarang sabun, losyen atau alkohol kerana ia mungkin mendatangkan kerengsaan dan menyebabkan kegatalan yang memungkinkan berlakunya jangkitan.
Semasa menjalani rawatan susulan kehamilan, jangan lupa dapatkan pemeriksaan payudara dan puting dari pakar perbidanan anda.
PERUBAHAN FISIOLOGI PAYUDARA
Seiring dengan proses kehamilan, secara semulajadi tubuh ibu juga akan mula bersiap sedia untuk proses penyusuan. Jangan terkejut kerana kolostrum boleh terhasil seawal 14 minggu kehamilan.
Kolostrum adalah susu awal yang pekat dan berwarna kekuningan yang mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh bayi dan juga kaya dengan antibodi yang bertindak melindungi bayi daripada sebarang jangkitan.
Badan ibu akan terus menghasilkan kolostrum selama beberapa hari selepas bersalin sehinggalah susu yang telah matang dikeluarkan. Salah satu keunikan susu ibu adalah komposisi kandunganya berubah dari hari ke hari ibu menyusukan bayi berkadaran dengan keperluan bayi yang sedang membesar. Ini membuatkan susu ibu sebagai satu sumber makanan bayi yang ideal.
BERSEDIA UNTUK MENYAMBUT SI COMEL
Pemilihan Hospital Rakan Bayi atau ‘Baby-Friendly Hospital’ sebagai hospital untuk menyambut kelahiran si comel anda adalah kunci kepada kejayaan penyusuan eksklusif ibu.
Pada tahun 1997 semua hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah diiktiraf sebagai ‘hospital rakan bayi’ yang menyokong penyusuan susu ibu. Namun begitu terdapat juga hospital swasta yang telah diiktiraf of KKM sebagai Hospital Rakan Bayi.
Berbincanglah dengan doktor yang bakal menyambut kelahiran sekiranya ibu memilih untuk bersalin di hospital swasta. Adalah menjadi protokol Hospital Rakan Bayi untuk mengamalkan ‘chest-to-chest or ‘skin-to-skin contact’ sejurus selepas bayi dilahirkan dan tali pusat bayi dipotong. Bayi akan diletakkan di dada ibu dan ini akan merangsang bayi untuk memulakan penyususan ibu.
UNICEF telah berkongsi satu video menarik tentang ‘skin-to-skin’, organisasi itu menerangkan “Setiap bayi yang baru lahir, apabila diletakkan di atas dada ibunya, tidak lama selepas kelahiran, mempunyai keupayaan untuk mencari payudara ibunya sendiri dan untuk menentukan masa untuk memulakan penyusuan susu ibu yang pertama.” Ini adalah naluri dan reflek semulajadi bayi yang baru dilahirkan.
TIPS PERSEDIAAN SEBELUM BERSALIN
- Penuhkan ilmu di dada mengenai penyusuan susu ibu melalui pelbagai sumber media sosial seperti FB, IG dan juga menghadiri Kelas Persediaan Penyusuan atau Kelas Antenatal
- Mula berinteraksi dengan rakan pembimbing, atau kaunselor penyusuan susu ibu yang terlatih. Lawati laman web www.malaysianbfpc.org
- Jadikan suami dan ahli keluarga terdekat sebagai penyokong kuat anda dan libatkan mereka dengan setiap aktiviti penyusuan agar mereka faham dan terus menyokong usaha anda.
- Berlatih menggunakan anak patung bagi mendapatkan posisi penyusuan yang sesuai dengan anda.
- Mula berhubung dengan payudara dengan mengurut payudara secara perlahan-lahan.
- Dapatkan gadet penyusuan yang dapat membantu ibu merealisasikan penyususan susu ibu secara eksklusif.
TIPS PERSEDIAAN SEBELUM KEMBALI BEKERJA
- Pilih taska atau pengasuh yang sedia bekerjasama untuk menjayakan penyusuan susu ibu.
- Latih bayi untuk menyusu susu perahah dari botol pada siang hari dan penyusuan ibu sekembali dari kerja, sebulan sebelum kembali bekerja
- Jangan lupa, latih juga bapa untuk memangku bayi dan memberikan susu perahan ibu melalui botol.
- Rancang masa anda untuk mengepam susu ketika di tempat kerja, sekurang-kurangnya 3 jam sekali.
- Pastikan stok susu perahan mencukupi dan disediakan sebulan sebelum bekerja
*sumber rujukan : “Membesarkan Anak Hebat Dengan Susu Ibu” (Dr Faridah Idris, 2013)
KLIK DISINI UNTUK JOINT FACEBOOK GROUP